KUALA LUMPUR, 22 April

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung 27 permit bas ekspres Transnasional bagi laluan Timur-Sektor Utara, berkuat-kuasa esok.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, berkata tindakan diambil selepas mendapati syarikat bas itu tidak memantau had kelajuan selain sistem pengesan global (GPS) gagal berfungsi ketika terbabit kemalangan di Bukit Lebu, Jalan Bentong-Raub, minggu lalu, sehingga menyebabkan tiga penumpang mati manakala 10 lain parah.

Katanya, SPAD turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat bas yang terbabit dalam kemalangan di Temerloh dan Pekan, Pahang, jika pasukan audit SPAD mengesan pelanggaran syarat pelesenan atau pekeliling berkaitan.

Sehubungan itu, katanya, SPAD turut menggariskan tujuh usaha penambahbaikan bagi mengetatkan prosedur keselamatan yang harus dipatuhi syarikat pengendali bas di negara ini.

Antara usaha lain penambahbaikan ialah pasukan audit pihak berkuasa itu akan mengaudit pemantauan pematuhan had kelajuan GPS bagi setiap pengendali bas ekspres di Semenanjung Malaysia dalam masa 30 hari.

Sementara itu, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata pengusaha bas ekspres perlu mengambil langkah pemantauan ke atas pemandu bagi memastikan semua aspek dalam keadaan sempurna sebelum bas memulakan perjalanan.