Oleh Farah Harith dan SM Amin

KUALA LUMPUR, 29 Mac:

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau perlu menyemak semula berkenaan kenyataan yang dibuat oleh Tun Musa Hitam pada satu forum politik di Kota Bharu baru-baru ini.

Musa, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, pada forum tersebut mengimbau kembali kejadian yang berlaku pada 29 tahun lepas dengan membongkar maklumat yang berbeza seperti yang dilaporkan oleh media pada masa itu.

Musa mendedahkan bahawa Mahathir pada ketika itu sebenarnya berada di Kuala Lumpur semasa dan juga dua-tiga hari selepas kejadian Memali.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Mahathir berada di China pada ketika itu.

Mahathir, ketika ditemui pemberita di Hotel Istana hari ini berkata perkara itu sudah lama berlalu dan beliau perlu menyemak semula sebelum untuk memastikan adakah kata-kata Musa mempunyai kebenaran.

Lawatan ke China pada tahun 1985 itu melibatkan 250 delegasi yang diketuai oleh Mahathir selepas negara menjalinkan hubungan diplomatik dengan China pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan kenyataan arkib Ketua Pemimpin DAP, Lim Kit Siang pada 9 November, 1985, terdapat majlis makan malam yang dibuat untuk Timbalan Ketua Setiausaha DAP, Tan Sri Lee Lam Thye, yang merupakan Ahli Parlimen Bandar Kuala Lumpur, juga antara salah seorang 250 delegasi itu.

Kenyataan arkib berkenaan merupakan ucapan yang diberikan oleh Lim pada majlis perpisahan itu, yang berbunyi: “Esok, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad akan mengetuai 250 delegasi yang kuat ke China, dan juga merupakan lawatan oleh perdana menteri Malaysia yang ketiga ke China selepas hubungan diplomatik terjalin antara Malaysia dan Republik Rakyat China pada 11 tahun yang lalu.”

Selain itu, The Rakyat Post juga meneliti arkib New Straits Times dan menjumpai tiga gambar yang memerlukan Musa menjelaskan lebih lanjut mengenai “pendedahan” yang dibuat olehnya.

Gambar pertama bertarikh 20 November, 1985 bertulis “Datuk Musa Hitam dan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad tersenyum ketika Putri Mohamed Noh, 7, datang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Perdana Menteri di Lapangan Terbang Subang. Perdana Menteri berangkat ke China selama 9 hari untuk lawatan rasmi.

Kredit gambar New Straits Times
Kredit gambar New Straits Times

Kejadian Memali berlaku pada 19 November, 1985.

Gambar milik NST itu merupakan bukti bahawa Mahathir berlepas ke China pada keesokan harinya dan mustahil untuk beliau berada di Kuala Lumpur pada dua tiga hari seterusnya selepas kejadian Memali seperti yang didakwa oleh Musa.

Gambar kedua daripada arkib tersebut bertarikh pada 28 November, 1985 bertulis “Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad disambut oleh Presiden baru MCA, Mr Tan Koon Swan dan ketua pemuda MCA, Senator Kee Yong setibanya di Lapangan Terbang Subang. Berada belakang Dr Mahathir adalah Ketua Setiausaha MCA, Datuk Lee Kim Sai. Dr Mahathir kembali dari lawatan ke China.”

Kredit gambar New Straits Times
Kredit gambar New Straits Times

Ini menjelaskan Mahathir berada di China sepanjang 20 hingga 28 November, 1985.

Bukti lain yang diperolehi daripada internet merupakan teks ucapan Mahathir ketika berucap sewaktu lawatannya ke China pada 1985.

Pada 20 November 1985, ucapannya yang bertajuk “”The Welcoming Banquet Hosted by H.E. Zhao Ziyang, Premier of the State Council of the People” diperolehi dari laman web arkib Koleksi Ucapan Pejabat Perdana Menteri.

Pada 22 November Mahathir memberi ucapan di “The Return Banquet Hosted in Honour of H.E. Premier Zhao Ziyang.”

Satu lagi ucapan yang diberikan pada hari yang sama bertajuk “Qing Hua University, Beijing, Regional Co-Operation: Challenges and Prospects.”

Lima ucapan lain yang juga boleh boleh didapati bertarikh antara 23 November hingga 27 November, 1985 di Shanghai, Hangzhou, Xian dan Guangzhou di China.