KUALA LUMPUR, 11 Mac – Sebuah akhbar tempatan hari ini memetik Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Datuk Sri Rodzali Daud sebagai berkata, kali terakhir pesawat MH370 dikesan berada berhampiran Pulau Perak, di perairan Selat Melaka, pada jam 2.40 pagi Sabtu lalu oleh menara kawalan udara berhampiran sebelum isyarat hilang tanpa sebarang petunjuk.

Menurut Berita Harian, Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu kemudian dilaporkan memasuki ruang udara Selat Melaka sebelum isyaratnya kali terakhir dikesan ketika berada berhampiran Pulau Perak, yang masih dalam kawasan perairan negara.

“Kemungkinan itu disokong dengan laporan polis oleh beberapa penduduk yang mendakwa melihat kelibat cahaya lampu besar dan pesawat terbang rendah dengan anggaran ketinggian 1,000 meter daripada paras laut di Kota Bharu, Kelantan.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia dengan dibantu pasukan keselamatan yang terbabit dalam operasai mencari dan menyelamat (SAR), menjalankan gerakan mengesan pesawat berkenaan di perairan Selat Melaka dengan skop kawasan dibahagikan kepada lima zon pencarian membabitkan pelbagai pasukan.

” SAR diperluas ke Selat Melaka susulan terdapat isyarat yang diterima oleh Pangkalan Udara TUDM Butterworth yang mengesan pesawat berkenaan berpatah balik ketika di ruang udara Laut China Selatan,” tambah hari itu.

Sementara itu, akhbar yang sama di satu ruangan pula melaporkan, “Rodzali ketika dihubungi, bagaimanapun tidak mengiyakan atau menafikan dakwaan radar ketenteraan berjaya mengesan pesawat MH370 berpatah balik dan menjuju ke arah Pulau Perak, Kedah sehingga hilang daripada radar….”